Selangor edar 100,000 Jalur Gemilang, semarakkan semangat patriotik

 


BAGI menyemarakan semangat patriotisme di kalangan rakyat Selangor, Kerajaan Negeri giat mengagihkan lebih 100,000 Jalur Gemilang ke seluruh negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata agihan secara percuma itu dilaksana melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 56 pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sekaligus menyemarakkan lagi Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

"Semangat patriotisme dan sayang negara ini mengatasi politik. Jadi mari sama-sama meriahkan sambutan Hari Kebangsaan ini dengan kibaran bendera negara.

"Kita harap penduduk setempat dapat memasang bendera yang diberikan ini untuk menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutama menjelang sambutan kemerdekaan negara," katanya pada satu sidang media di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam pada Selasa.

Amirudin sebelumnya hadir bagi melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024.

Sementara itu Amirudin turut menyarankan semua anak syarikat milik kerajaan negeri bersama-sama mengagihkan Jalur Gemilang kepada para pekerja untuk mereka kibarkan atau pamerkan di pejabat dan lokasi lain yang bersesuaian.

Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 dilancarkan Perdana Menteri 21 Julai lalu untuk menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 bertemakan 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka,' dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Post a Comment

0 Comments