KPM komited tangani isu salahlaku komuniti sekolah

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) kekal tegas dalam menangani isu berkaitan kesalahan seksual melibatkan komuniti sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu telah diperkukuh sebaik Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara menerusi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Pada masa yang sama, saya ingatkan laporan oleh ahli keluarga dan juga penegasan-penegasan advokasi dalam masyarakat ini mesti terus dipertingkatkan supaya gejala seperti ini dapat kita kawal

"...Kalau kita dapati berlaku (gejala seksual) dalam kalangan warga KPM sendiri, memang kita sudah buat penegasan tatatertib ini, iaitu ‘you touch you go’,” katanya.

Fadhlina berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Marang pada Ahad.

Terdahulu beliau diminta mengulas laporan media pada Sabtu berhubung dakwaan seorang pelajar perempuan di Besut menjadi mangsa rogol dan amang seksual oleh tiga rakan lelaki sekolahnya, Februari lepas.

Sementara itu tegasnya kementerian juga sentiasa memandang serius sebarang gejala sosial melibatkan pelajar termasuk isu rokok elektronik atau vape dan rokok.

Bagaimanapun beliau mengingatkan ibu bapa dan komuniti agar memainkan peranan masing-masing terutama sekali sekiranya kes gejala sosial itu timbul di luar kawasan sekolah.
 
"(Masalah gejala sosial) Yang dalam sekolah ini memang dalam kawalan kita... sebab kita ada tindakan dan tatatertib yang kita panggil sebagai proses kerja, tetapi di luar itu, juga perlukan komitmen dan kawal selia ibu bapa dan komuniti," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments