Ramanan kotakan janji, serah gaji dan elaun bantu rumah ibadat

AHLI PARLIMEN Sungai Buloh Datuk R Ramanan, telah menyumbangkan hampir RM500,000 kepada rumah-rumah ibadat termasuk surau, masjid, kuil Hindu dan Buddha, tokong, gereja, selain persatuan dan organisasi keagamaan di kawasan diwakilinua.

Sumbangan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan itu bagi mengotakan janji pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menyerahkan gaji dan elaun kedua-dua jawatan itu kembali kepada rakyat.

Menurut Ramanan, sejumlah RM332,000 diserahkan kepada 72 rumah ibadat pada 2023, manakala RM120,000 lagi kepada kira-kira 100 rumah ibadat dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

"Selain mengotakan janji, pemberian kesemua gaji dan elaun ini juga adalah penghargaan saya kepada pengundi berbilang bangsa di Parlimen ini yang telah menyokong saya selama ini.
 
"Jadi pengurusan rumah ibadat boleh gunakan duit ini bantu golongan B40 yang memerlukan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil lapan rumah ibadat di beberapa lokasi sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Khamis.

Sementara itu beliau turut berikrar memastikan setiap rumah ibadat di kawasannya mendapat sumbangan berkenaan, dengan amaun yang disalurkan bergantung kepada jumlah penganut dan keperluan rumah ibadat berkenaan.

"Setiap dua bulan sekali gaji dan elaun saya bahagikan kepada semua rumah ibadat di sekitar Sungai Buloh, ini merupakan tambahan daripada peruntukan selain daripada yang diberikan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh," tambahnya.

Sementara itu difahamkan, sumbangan tersebut digunakan rumah ibadat terbabit untuk membantu golongan kurang berkemampuan, anak yatim piatu dan golongan ibu tunggal.

Post a Comment

0 Comments