Pindaan Akta perubatan bakal tingkat kualiti pengamal perubatan - Menteri

MENTERI KESIHATAN memberi jaminan pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan memberi kesan positif terhadap kualiti dan kuantiti pakar perubatan pada masa hadapan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada taklimat media mengenai RUU Perubatan (Pindaan) 2024 serta RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Parlimen pada Isnin berkata,  penambahbaikan itu akan  melibatkan program sarjana dan ‘parallel pathway’ yang mana latihan kepakaran baharu bagi kedua-dua program berkenaan perlu dinilai.

“Tujuan utama pindaan diharmonikan dan diatur ialah memastikan kuantiti pakar yang bakal dijana, bukan saja bagi sarjana perubatan tetapi juga laluan ‘parallel’.

“(Tujuan) kedua ialah kualiti. Ada dua jalur kepakaran, dan isu selalu ditanya ialah kualiti serta bagaimana bertemu dengan kuantiti yang mahu dijamin dengan pindaan ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Dzulkefly membentangkan RUU Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bertujuan memberi kuasa kepada MMC untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

Pindaan ke atas perenggan 4a(2)(h) itu adalah sebahagian daripada Fasal 4 RUU berkenaan yang secara umum bertujuan meminda Akta Perubatan 1971 bagi menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.

Sementara itu Dr Dzulkefly menafikan dakwaan KKM bersikap berat sebelah dengan tidak memberi penekanan kepada program sarjana perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berbanding ‘parallel pathway’.
 
Perkara itu jelasnya terbukti apabila pada tahun ini, peruntukan bagi program sarjana perubatan dalam negara ditingkatkan kepada RM142.4 juta berbanding Parallel Pathway, hanya RM10 juta.

“Apapun persepsi (mendakwa) kita memberi kepentingan kepada program antarabangsa, ‘parallel pathway’, dari sudut kewangan pun jelas, ia jelas tidak begitu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments