Isu buli siber dibentangkan ke jemaah menteri minggu depan

KEMENTERIAN KOMUNIKASI dijangka akan membentangkan isu berkenaan buli siber di platform  media sosial dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pembentangan itu diminta sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.

"Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku, tetapi (juga akan) mengambil tindakan, terutama kalau perlu pinda akta, dan kita lihat apakah kelemahan sekarang," katanya.

Fahmi ditemui pemberita pemberita selepas mengadakan lawatan kepada keluarga seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan, pembentangan itu turut akan menyentuh laporan berhubung insiden membabitkan pempengaruh berkenaan.

Sementara itu menurut Fahmi,  masalah utama menangani buli siber adalah kebanyakan pelaku bersembunyi di sebalik akaun palsu sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti identiti mereka.

"Salah satu aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi daripada pihak polis adalah akaun-akaun yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan ini, berselindung di sebalik akaun palsu.

"Ia menyebabkan identiti individu yang mengeluarkan komen atau terbabit dalam scam dan sebagainya sukar dikenal pasti," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments