Pelbagai pendekatan dijalankan atasi isu guru bersara awal - Menteri Pendidikan

PELBAGAI pendekatan serta mekanisme dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melonjak semangat dan motivasi golongan guru bagi mengelakkan mereka bersara awal.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya serius terhadap isu itu namun tetap memberikan ruang sepenuhnya kepada guru terbabit membuat keputusan selepas intervensi dilakukan.

“Kita sentiasa membuat pelbagai mekanisme untuk memberikan semangat kepada mereka, ini merangkumi program yang bersifat psikometrik, sokongan dan dukungan begitu juga dengan pengurusan berkaitan dengan kenaikan pangkat.

“Jadi dari semasa ke semasa sememangnya ada program itu, tetapi saya fikir yang hendak bersara awal maknanya mereka memilih bersara awal atas alasan kuat seperti masalah kesihatan, tidak berminat (meneruskan kerjaya) serta berkeluarga,” katanya.

Fadhlina berkata begitu kepada pemberita pada program tinjauan mesra di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Khamis.

Sementara itu fadhlina yakin keputusan guru untuk bersara awal tidak akan menjejaskan sistem pendidikan negara.

Ini kerana pengisian kekosongan jawatan guru di seluruh negara kini pada tahap 98 peratus menerusi kerjasama erat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Insya-Allah, kita ada beberapa pendekatan iaitu keluaran guru daripada Institut Pendidikan Guru (IPG), kemudian kita ada COS (lantikan secara kontrak) yang akan kita ambil dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments