Kerajaan komited martabatkan piawaian perburuhan negara

KERAJAAN telah membuktikan kesungguhan untuk memartabatkan piawai perburuhan negara agar selari dengan piawai perburuhan antarabangsa susulan penyertaan Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-112 yang berlangsung di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mewakili Malaysia pada persidangan itu.

Beliau telah menyuarakan pelbagai perkara berkaitan sektor pekerjaan serta mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawatan dari negara ASEAN yang menyertai persidangan itu.

"Sim juga telah mengadakan mesyuarat bersama Sekretariat Forum Ekonomi Dunia, perwakilan tertinggi tiga pihak antarabangsa iaitu International Trade Union Confederation (ITUC) dan International Organisation of Employers (IOE) serta perjumpaan dengan pakar Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam bidang platform ekonomi dan standard perburuhan.

"Persidangan peringkat antarabangsa ini membuka peluang kepada pemimpin serantau untuk duduk semeja dan berbincang mengenai hal melangkaui sempadan negara masing-masing," kata kenyataan itu.

KESUMA turut memaklumkan sewaktu ucapan negara dalam sidang pleno pada persidangan itu, Sim telah menyinggung kontrak sosial dunia ketika ini yang hanya menguntungkan negara kuasa besar dunia dan merugikan negara kecil.

"Beliau juga telah berkongsi pengalaman dan usaha Malaysia dalam memartabatkan pekerja melalui rangka kerja MADANI," tambah kenyataan itu.

Media pada Selasa melaporkan Sim telah mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen ILO C155 sebagai sebahagian langkah kerajaan untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei lalu.
Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 selama lima hari yang bertemakan 'Ke Arah Memperbaharui Kontrak Sosial' telah melabuhkan tirainya, pada Jumaat lalu.

Ketika di Geneva, Sim difahamkan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Filipina dan Nepal.

Pertemuan itu bagi memperkukuh kerjasama serantau dan negara sumber serta mengulang tekad untuk memastikan kebajikan pekerja dari kedua-dua negara sumber itu terpelihara.

Post a Comment

0 Comments