PM menghadap Agong untuk mesyuarat terakhir pra-Kabinet

YANG DI-PERTUAN AGONG , Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

Pertemuan itu adalah mesyuarat pra-Kabinet terakhir antara kedua-dua pemimpin susulan Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.
 
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, petang hari ini.

“Sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Seri Paduka Baginda, kerana ia merupakan kali yang terakhir sebelum Seri Paduka Baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024 kelak,” kata Istana Negara.

Sementara itu, Anwar dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, turut hadir pada mesyuarat itu adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambahnya, mesyuarat itu amat mengesankan kerana ia merupakan kali terakhir sebelum Seri Paduka Baginda menamatkan tempoh pemerintahan.

"Mendoakan semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan, kesejahteraan dan penuh kedaulatan.

"Dirgahayu Tuanku!, kata Anwar. 

Post a Comment

0 Comments