PM Anwar luah rasa tersinggung, isu air terus belenggu UMS

PERDANA MENTERI mahu satu laporan penuh berhubung peruntukan dan pelaksanaan projek bagi mengatasi bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) .

Merujuk laporan mengenai sekumpulan pelajar di universiti berkenaan yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau merasa tersinggung dengan insiden itu memandangkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi tujuan berkenaan telah diluluskan pada Mei tahun lalu.

“Saya tidak ingat bila saya pergi ke UMS tapi saya dengar keresahan mereka (pelajar). Saya minta kepastian daripada Naib Canselor dan saya luluskan. Jadi saya tidak mengerti (kenapa isu belum selesai) tapi mungkin projek itu mengambil masa.

"Saya tidak mahu membuat keputusan menghukum seperti sesetengah ustaz yang cepat menghukum.
 
"Cuma, saya nak minta laporan teliti, apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di universiti berkenaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan warga Kementerian Kewangan (MOF) bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Putrajaya pada Selasa.

Pada Isnin, Menteri Pendidikan Tinggi  Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerima sambutan unik daripada pelajar dalam lawatan kerjanya yang pertama ke UMS.

Berbeza dengan sambutan biasa, pelajar-pelajar ini menzahirkan kesusahan mereka dengan menunjukkan kadbod untuk memberitahu masalah mereka di kampus berikutan masalah air.

Kumpulan tersebut juga menyanyikan lagu sebagai permohonan maaf kepada Zambry kerana mereka tidak dapat mandi semasa menyambut rombongan tersebut.

Sehubungan itu, Dr Zambry memaklumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air dihadapi warga kampusnya.

Menurut Zambry, pihak UMS memerlukan sedikit peruntukan tambahan khususnya untuk kawasan yang mempunyai sumber air, tetapi air itu tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama berkenaan.


Post a Comment

0 Comments