KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengkreditkan insentif Caruman Tambahan Kerajaan sebanyak RM500 yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Inisiatif berjumlah RM708 juta itu diagihkan kepada 1.4 juta ahli KWSP berumur antara 40 dan bawah 55 yang mempunyai simpanan KWSP RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka setakat 24 Februari 2023.
“Insentif caruman RM500 sekali bayaran ini yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb 2023, bertujuan menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur persaraan untuk terus menyimpan dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka.
“Ini sejajar dengan matlamat KWSP untuk meningkatkan kecukupan simpanan dan menyumbang secara signifikan kepada matlamat lebih luas bagi membina masa depan kewangan yang berdaya tahan,” kata KWSP.
Sebagai rekod, Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Febuari tahun lalu memaklumkan kerajaan bersetuju menambah caruman tersebut.
Jelasnya, langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik COVID-19.
0 Comments