Dr Chua Jui Meng meninggal dunia

BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng dilapor meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Berita pemergian Chua disahkan anaknya, Damien Chua seperti dilapor media.

"Dengan sedih dimaklumkan bahawa Datuk Dr Chua Jui Meng telah kembali untuk bersama Tuhan (meninggal dunia) hari ini (Ahad)," katanya tanpa memaklumkan punca kematian Jui Meng.

Sebagai rekod, mendiang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan selama sembilan tahun bermula pada 1995 hingga 2004.

Berasal dari Muar, mula aktif dalam politik bersama MCA pada 1976.

Chua bertanding di Parlimen Bakri pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986 dan mengekalkan kemenangan di kerusi itu  selama lima penggal berturut-turut sehingga 2004.

Pada 2009, beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi KEADILAN negeri Johor.

Mendiang kekal bersama KEADILAN sehingga ke akhir hayatnya dan pemergiannya turut dirasai oleh Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran yang pernah berkhidmat bersamanya.

"Salam takziah kepada keluarga Datuk (Dr) Chua Jui Meng. Beliau telah kembali ke Penciptanya pada petang tadi.

“Beliau antara salah satu faktor saya giat aktif dalam KEADILAN seawal 2008 dan saya berkhidmat sebagai setiausaha kerja waktu beliau selaku pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor pada 2012.

"Sumbangan beliau amat besar kepada sektor kesihatan negara serta politik tanah air, " katanya.

Sementara itu, Laman Facebook Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Chua.

“Beliau merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor selama lima tahun dari 2009 hingga 2014. Di bawah kepimpinan Chua, buat pertama kali KEADILAN menang kerusi di Parlimen Batu Pahat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013,” menurut catatan tersebut pada Ahad.