Malaysia hantar bantuan kedua untuk rakyat Palestin

MALAYSIA menghantar bantuan kedua untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan malam tadi.

Pesawat kargo khas membawa barangan keperluan utama seberat 20 tan antaranya makanan, barangan bayi serta perubatan berlepas kira-kira jam 11 malam tadi dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)  menuju Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir.

Sebaik bantuan berkenaan tiba di Mesir, barangan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk bantuan ke Palestin melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.

Majlis pelepasan penghantaran kedua itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut disertai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali serta ketua perwakilan asing.

Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama lebih 50 NGO antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).  

Penghantaran kedua itu menjadikan jumlah barangan bantuan dihantar Malaysia mencecah kepada 40 tan setelah melakukan penghantaran pertama melibatkan barangan seberat 20 tan pada 3 Nov lepas.

Ia sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpulkan untuk Ops Ihsan.

Difahamkan baki barangan bantuan seberat 10 tan dijangka dihantar dalam penerbangan ketiga dalam masa terdekat.

Fadillah yang ditemui pemberita malam tadi merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat penerbangan dan petugas logistik yang bersama menjayakan misi bantuan kemanusian itu.

"Kita doakan perjalanan penghantaran (bantuan) ke Gaza dipermudahkan dan selamat sampai kepada rakyat Palestin yang amat memerlukan bantuan ini," katanya.


Post a Comment

0 Comments