MASIH terlalu awal untuk kerajaan memutuskan keperluan memboikot Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di California, Amerika Syarikat (AS) pada November ini.
Pendirian itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan desakan seorang pemimpin PN yang mahu kerajaan memboikot mesyuarat itu sebagai tanda protes terhadap pendirian Amerika Syarikat (AS) sekiranya konflik di Gaza tidak dihentikan.
"Tunggu keadaan. Terlalu awal untuk kita putuskan," kata Anwar kepada pemberita di Dengkil pada Jumaat.
Perdana Menteri dilapor akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat APEC tahun ini.
Selain mesyuarat pemimpin Apec, pemimpin Asean kecuali pemimpin tentera Myanmar telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat berasingan dengan Presiden AS, Joe Biden.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga berkata buat masa ini Malaysia tidak membuat sebarang keputusan berhubung gesaan supaya kerajaan memboikot Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kita sekarang duduk dengan kerjasama dengan OIC (Pertubuhan Persidangan Islam), Liga Arab.
"Tiap-tiap hari ada ada rundingan perkembangan semasa. Tapi, keutamaan kebanyakannya ialah kemanusiaan dan menghentikan serangan. Itu keutamaan negara Islam," katanya.
Jelas Anwar lagi, Malaysia akan terus mengambil tindakan bersama negara-negara lain berhubung soal bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan ke Palestin.
0 Comments