AHLI PARLIMEN Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melihat usaha Perdana Menteri menekankan agenda untuk meningkatkan tata kelola di negara ini dalam menghapuskan ketirisan dan pembaziran kian menampakkan hasilnya.
Dipetik laporan Sinar, Hassan berkata beberapa langkah drastik telah diambil di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan dalam memacu agenda berkenaan dan beberapa pencapaian telah dicapai.
Ia antaranya berhubung tata kelola pemberian kontrak dan tender daripada kerajaan.
"Perdana Menteri sangat tegas dalam perkara ini, beliau arahkan pemberian ini mesti melalui tender terbuka, dan dari segi pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), beliau putuskan hanya golongan yang layak dan bermerit dilantik.
"Selain itu, beliau juga dari segi aspek tata kelola mencegah ketirisan dan rasuah memberi kebebasan penuh di bawah undang-undang yang ada supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas penguatkuasaan mereka tanpa takut dan pilih kasih," katanya menurut laporan itu.
Hassan sebelumnya mengulas pencapaian Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dari sudut tata kelola menjelang setahun pentadbiran.
Mengulas lanjur, Hasan ketika menyentuh mengenai tata kelola sistem perundangan pula, Anwar telah mengambil inisiatif supaya menteri undang-undang menjalankan libat urus yang bertujuan pada akhirnya memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan pendakwa raya.
"Dalam pada itu Anwar sebagai Ketua Mesyuarat Dewan Rakyat turut memberi ruang kebebasan untuk speaker mengambil beberapa inisiatif untuk melakukan reformasi di Parlimen.
"Antaranya ada cadangan untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, selain memberi jaminan dan komitmen untuk melindungi kebebasan badan kehakiman," jelasnya.
Dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan kehidupan rakyat, Anwar jelasnya telah memberi keutamaan kepada jaminan bekalan makanan atau keselamatan makanan dan mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi.
"Sebab itu lah Perdana Menteri telah merombak sistem pemberian lesen import (AP) dan beransur-ansur mengurangkan cengkaman golongan orang tengah dan kartel yang menindas rakyat dalam rantaian makanan dan perkhidmatan.
"Selain menjanjikan perubahan kehidupan berbelas juta rakyat pekerja di negara ini ialah inisiatif kerajaan memperkenalkan sistem gaji progresif sebagai jalan ke arah rakyat berpendapatan tinggi," katanya yang turut memuji langkah penghapusan sistem kapitalis kroni dalam pemerolehan tender dan kontrak projek kerajaan.
0 Comments