Ketua PAS Kangar berdepan tuduhan hina kuasa raja

SEORANG pemimpin PAS peringkat kawasan dilapor bakal didakwa di mahkamah syariah di Perlis ekoran sebuah majlis membabitkan personaliti terkenal, Wadi Annuar Ayub di negeri itu baru-baru ini.

Yussaine Yahya dipetik laporan Malaysiakini akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kangar pada Khamis ini atas dakwaan melakukan kesalahan mengikut Enakman Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 kerana menganjurkan ceramah agama membabitkan penceramah yang tidak mempunyai tauliah.

Notis saman yang tular  menyatakan Yussaine yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kangar dituduh melakukan kesalahan menghina kuasa raja pemerintah dan badan-badan agama Islam lain mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.
 
Sementara itu dipetik laporan sama, Yussaine yang mengesahkan menerima notis untuk hadir di mahkamah memberitahu dia tidak pasti mengapa Wadi Annuar tidak dipanggil untuk didakwa seperti dirinya.
 
"Saya pun tak tahu kenapa penceramah tidak dipanggil sebaliknya hanya saya," katanya.

Dalam kejadian 30 Mac lalu, berlaku kekecohan di Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (Matin) di Kangar ekoran program 'solat terawih dan sembang santai' dianjurkan di situ.

Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips)  menyerbu program itu kerana melibatkan Wadi Annuar yang tidak memiliki sebarang tauliah daripada kerajaan negeri Perlis.
 
Dalam serbuan itu penguat kuasa Jaips serta pengarahnya dihalang memasuki premis Matin sehingga berlaku ketegangan dan ada pihak didakwa melaungkan perkataan "kafir" semasa kekecohan berlaku.
 
Jaips kemudian membuat laporan polis apabila penguat kuasanya dihalang penganjur daripada bertemu dengan Wadi Annuar untuk diambil keterangan berhubung tindakannya memberi ceramah di negeri itu tanpa tauliah.

Media sebelum ini turut melaporkan Wadi Annuar dan penganjur program berkenaan dipanggil untuk diambil keterangan di pejabat Jaips pada 2 Mei lalu, namun prosesnya tidak berlangsung lancar.


Post a Comment

0 Comments