LAGI laporan polis telah dibuat terhadap Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Sepuluh kumpulan daripada Gabungan NGO Tamil Malaysia dan pertubuhan di Selangor telah memfailkan laporan mereka terhadap Sanusi yang juga pengarah pilihan raya negeri PN, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Isnin.
Setiausaha Agung Pertubuhan Naam Tamilar Malaysia dan penyelaras gabungan NGO-NGO Tamil Malaysia A Kalaimughilan berkata pihaknya menggesa polis menyiasat dan mengenakan pertuduhan terhadap Sanusi di mahkamah.
"Kami sebagai warga Selangor tidak boleh menerima (orang) menghina sultan kami dengan kata-kata tidak bijaksana," katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini Sanusi didakwa menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mengulas mengenai pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.
Dalam rakaman ucapan itu - yang tular di media sosial - Sanusi membandingkan Sultan Kedah dan Selangor, selain menganggap Amirudin sebagai tokoh cokia (lekeh) untuk dijadikan menteri besar.
Sementara itu, Kalaimughilan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi menoktahkan propaganda menyentuh isu 3R dimainkan pihak tertentu.
“Negara Malaysia adalah negara majmuk tidak sepatutnya dibangkitkan isu-isu kaum dan agama," katanya.
0 Comments