Siasatan dana libatkan PN belum dihentikan - Azalina


SIASATAN
berhubung dakwaan dana judi melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dihenti atau digugurkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa semua pihak tidak terlalu awal membuat kesimpulan mengenai siasatan dakwaan dana judi melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, Azalina menegaskan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak dihentikan atau digugurkan.

"Adalah penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

"Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah," katanya dalam kenyataan yang dikongsi dalam Twitternya di sini, pada Jumaat.

Azalina sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa siasatan SPRM setakat ini mendapati tiada unsur rasuah termasuk membabitkan sumber dana oleh parti daripada kerajaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

SPRM setakat ini tidak membuka fail pertuduhan memandangkan maklumat diperolehi berhubung dakwaan itu hanya bersifat umum.

Walau bagaimapun tegasnya,  jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baharu berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang.

Beberapa pemimpin PN sebelum ini menggunakan jawapan Azalina di Dewan Rakyat untuk menyindir pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai dakwaan bahawa PN ada menerima dana daripada syarikat perjudian bagi kempen PRU15.

Kes dana terbabit belum ditutup, kata Azalina
Azalina kemudian tampil menegaskan adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan bertulis yang diberikan dalam Dewan Rakyat untuk membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 

Post a Comment

0 Comments