KERAJAAN disaran mewujudkan lembaga keampunan khas bagi bekas-bekas pengguna dadah sebagai peluang kedua.
Cadangan
itu dinyatakan Setiausaha Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang
Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi melalui satu kenyataan.
Menurut
Raja Azizan, pihaknya berharap pengampunan penuh automatik dan
pembersihan rekod kesalahan diberikan kepada bekas penagih yang
menjalani hukuman dan pemulihan serta telah dijamin bersih dalam tempoh
lima tahun.
"Negara kita mempunyai jumlah bekas pengguna bahan
terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak
penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.
"Mereka
yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, ramai yang
sudah insaf apabila dihukum dan mempunyai sokongan rakan pemulihan agar
mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.
"Mereka
ini berdepan kesukaran mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai
rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau
denda," katanya.
Beliau turut menegaskan, melalui pengampunan
itu, bekas pengguna dadah akan dapat mencari rezeki untuk keluarga
dengan lebih selesa tanpa didiskriminasi oleh majikan.
![]() |
Beri peluang kedua untuk bekas pesalah |
"Sehubungan itu MASAC ingin memohon jasa baik Perdana Menteri untuk dijadikan satu Arahan Pentadbiran Perdana Menteri agar kesemua bekas pengguna dadah yang telah menjalani hukuman selepas 5 tahun akibat dadah termasuk memiliki dadah untuk kegunaan sendiri dijadikan sebagai automatik boleh diberi untuk pengampunan penuh dan data mereka bebas dari ada rekod pernah dihukum," kata kenyataan itu.
0 Comments