Rafizi anggap dakwaan Hamzah tak lebih sekadar retorik

 



KENYATAAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa beliau menyimpan fail pemimpin kerajaan hanyalah retorik untuk meraih sokongan semata-mata, kata Rafizi Ramli.

Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata, sekiranya Hamzah mempunyai isu berkait kepentingan awam, beliau tidak perlu menggunakan dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 untuk membuat pendedahan.

"Saya berada di kedudukan mereka sebelum ini, hanya ada satu masa saya menggunakan dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan ia adalah kerana keadaan mendesak, pada masa itu saya telah berusaha tetapi tidak mendapat maklum balas.

"Jadi secara asasnya jika pembangkang mahu mendedahkan salah laku kerajaan, mereka perlu mempertimbangkan sama ada mereka sanggup atau tidak mengambil risiko.

"Itulah sebabnya saya tidak terlalu bimbang kerana saya ragu mana-mana ahli politik ingin mengambil risiko untuk pergi ke penjara seperti yang saya lakukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Media pada Ahad melaporkan Hamzah mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.

Dipercayai, amaran itu susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mendakwa beberapa pemimpin Parti Bersatu yang dikaitkan dengan penyelewengan dana Projek Jana Wibawa.

Hamzah juga berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.

Tambah dakwanya, beliau juga ada banyak ‘fail’ pemimpin kerajaan.

"Jika terdapat skandal besar yang melibatkan sesiapa sahaja, maklumat dan dokumen itu akan keluar sekarang.

Dakwaan Hamzah dianggap hanya retorik
"Kemungkinan besar media akan mendapatnya. Kita hidup dalam era di mana kita tidak boleh benar-benar menyimpan atau menutup perkara (skandal) seperti ini," tegas Rafizi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Larut itu.
 
Pada Isnin seorang Ahli Parlimen mengingatkan Hamzah dia mungkin telah melakukan kesalahan undang-undang jika menyimpan sebarang dokumen sensitif sejak menjadi menteri dalam negeri.

Hassan Karim yang juga seorang peguam menegaskan fail pejabat menteri adalah harta kerajaan, dan tidak boleh dibawa keluar dari bangunan kerajaan atau disalin dalam apa cara sekalipun.

Post a Comment

0 Comments