Perak umum bonus satu setengah bulan gaji untuk penjawat awam


KERAJAAN Perpaduan Negeri Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini.

Pengumumannya dibuat Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Pembentangan Bajet 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.

“Turut menerima bantuan khas berkenaan ialah Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta Pekerja Sambilan Harian (PSH).

“Bagaimanapun, pemberian ini dikecualikan kepada Menteri Besar dan barisan Exco,” katanya sambil menjelaskan pembayaran sepenuhnya bantuan kewangan itu akan dibuat pada tahun semasa.

Sementara itu menurut Saarani lagi, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2 juta bagi tuntutan bayaran awal gantian cuti rehat kepada yang layak.

Ia sebagai menghargai komitmen tidak berbelah bahagi ditunjukkan penjawat awam di negeri itu.

Selain itu turut disediakan ialah RM2 juta bagi insentif khas pesara dan RM0.05 juta untuk insentif mengerjakan umrah atau keluar negara.

“Kerajaan negeri turut mengunjurkan RM100 juta sumbangan terkumpul Badan Berkanun Negeri bagi tempoh 10 tahun mulai 2023 hingga 2032.

“Ini bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan perolehan hasil kerajaan negeri yang kini banyak tertumpu kepada hasil cukai,” katanya.


Bajet 2023 negeri Perak bertambah RM93 juta
Pada pembentangan Bajet bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ semalam, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.19 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun depan.


Daripada jumlah itu, sebanyak RM395 juta diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan manakala RM794 juta untuk perbelanjaan mengurus.

Ia meningkat sebanyak RM93 juta berbanding tahun 2022.

Post a Comment

0 Comments