KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab kritikan terhadap pengumumannya dua tahun lalu bahawa beliau ketika itu berjaya mendapatkan sokongan yang "meyakinkan, kukuh dan kuat" untuk membentuk kerajaan.
Memetik wawancara bersama beberapa media baru-baru ini, Presiden KEADILAN itu berkata bahawa kenyataannya ketika itu berdasarkan sokongan dari ketua-ketua parti politik ketika itu.
"Bila saya sebut sokongan convicing (meyakinkan), formidable (kukuh), walaupun diperolok-olokkan, itu berdasarkan surat ketua-ketua parti yang memang jumlahnya itu convincing dan formidable.
"Itu dua tahun lalu. Saya masih pertahankan surat itu ada," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini, The Vibes dan Sinar Harian di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya.
Tambah Anwar dalam wawancara itu, memandangkan sudah mendapat jumlah sokongan ketika itu, Anwar berkata dia kemudiannya membentangkan senarai prinsip kepada mereka yang akan bekerjasama dengan HARAPAN.
Ia termasuk syarat bahawa dasar kerajaan tidak boleh dikompromi, bahawa mereka akan menolak sentimen perkauman yang sempit dan rasuah, serta mematuhi tadbir urus baik dan tidak boleh merampas kepimpinan negara.
Tambahnya antara yang ditekankan pihaknya ketika itu adalah beliau enggan campur tangan kehakiman untuk melepaskan ahli politik yang menghadapi perbicaraan jenayah di mahkamah.
"Paling tegas saya lakukan adalah tidak bersedia untuk campur tangan urusan badan kehakiman yang semestinya bebas dan berwibawa.
"Kerana kita juga ada pengalaman dengan badan kehakiman ini. Syarat-syarat kalau disenangi pendirian saya, ok.
"Kalau nampak tidak boleh terima, tidak sokong, itu masalah mereka," kata Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).
![]() |
Anwar tak mahu langgar prinsip demi kuasa |
Malah bekas Timbalan Perdana Menteri pada era 90-an itu menegaskan bahawa beliau tidak boleh mengkhianati amanah rakyat semata-mata untuk menjadi perdana menteri.