BEKAS menteri hal ehwal agama Datuk Seri Mujahid Yusof membidas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob yang menurutnya cuba memfitnah Pakatan Harapan (HARAPAN) berkaitan isu Tabung Haji (TH).
Dalam satu kenyataan, Mujahid yang juga naib presiden parti Amanah menegaskan bahawa fakta menunjukkan usaha pemulihan Tabung Haji berjaya dilaksana ketika era pentadbiran HARAPAN.
Penstrukturan semula dijalankan jelasnya berjaya mengimbangkan defisit antara aset dan liabiliti Tabung Haji.
"Segala yang dinikmati hari ini adalah hasil kejayaan penstrukturan semula zaman HARAPAN
"Soalan saya kepada menteri Melayu-Islam nak dengar fakta atau nak ulang fitnah terhadap Tabung Haji," katanya
Terdahulu Ahmad berucap dalam program Ihya' Ramadan bersama anak perantau Kelantan di Lembah Klang cuba memberi gambaran kepentingan orang Islam terjejas ketika era pentadbiran HARAPAN.
"Contohnya Tabung Haji, tuan-puan semua tahu tak payah saya cerita. Bagaimana Tabung Haji merupakan milik 100 peratus orang Islam tetapi setelah bertukarnya kerajaan dalam masa 22 bulan semua orang tahu, amat perit.
"Apabila orang lain yang tidak Islam mendapat kuasa maka kepentingan umat Islam mula terjejas," kata pemimpin PAS itu dipetik laporan media.
Selain itu, menurut Mujahid pentadbiran HARAPAN berjaya patuh Seksyen 22, Akta Tabung Haji mengenai pengagihan hibah yang sejak 2014 ketika tidak dipatuhi pemerintahan Barisan Nasional (BN).
"Berjaya patuh piawaian pelaporan kewangan Malaysia (MFRS) dan piawaian pelaporan kewangan antarabangsa (IFRS) yang merupakan syarat perakaunan bersih yang tidak dipatuhi dalam akaun 2017 zaman BN.
"Pencarum bertambah dan aset lebih tinggi dari tanggungan menandakan kesihatan Tabung Haji dari sudut kewangan.
![]() |
| K'jaan HARAPAN berjaya imbangi defisit TH |
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahmad Yakob supaya lebih rajin membaca laporan audit dari tahun 2018 hingga 2020 yang menggambarkan kedudukan sebenar dan bukan maklumat yang dimanipulasi.



0 Comments