Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah, Mohamed Firdaus Johari ketika mengulas pelantikan Jamil Khir Baharom sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri (PM) berkata, tindakan itu adalah tindakan yang amat mengecewakan.
“Dalam mendepani dan memerhati perkembangan politik yang sedang berlaku, AMK Negeri Kedah melahirkan rasa kecewa dan kesukaran untuk menerima secara objektif dan penuh rasional terhadap pelantikan Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama kepada PM sepertimana yang sedang tular dikebanyakan media arus perdana tatkala ini.
“Adalah membingungkan dan menjengkelkan ketika rakyat sedang menghadapi keperitan kenaikan harga barangan khususnya rakyat bawahan dan pertengahan serta jumlah hutang negara yang terus meningkat, pelantikan dikalangan elit politik yang tidak jelas hala tujunya telah pun dilaksanakan.
“Apakah tidak cukup besar martabat dan ketinggian darjat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama untuk melayakkan bait-bait nasihat dan pandangannya diutarakan terhadap PM sehingga terpaksa diwujudkan satu jawatan baru?,” soal Mohamed Firdaus dalam kenyataan yang dipetik laporan Malaysia Dateline.
Sebelum ini tular di media sosial bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu dilantik kejawatan yang baharu diwujudkan itu.
Utusan Online dalam laporannya berkata,satu poster ucapan tahniah dimuat naik oleh para pemimpin UMNO Kedah termasuk oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Petani, Shahanim Mohamad Yusoff berhubung perkara itu.
“UMNO Bahagian Sungai Petani merakamkan ucapan sekalung tahniah kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom di atas perlantikan Sebagai Penasihat Agama Kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Semoga Yang Berbahagia Datuk Seri dapat melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan cemerlang,” kata Shahanim dalam Facebooknya seperti dilapor portal itu.
Jamil mengesahkan pelantikannya dengan FMT tetapi tidak mendedahkan sebarang butiran selain dia akan menasihati Ismail dalam isu hal ehwal agama.
Sementara itu tambah Mohamed Firdaus, isu pelantikan ini bukanlah semata-mata kerana kontroversinya Jamil Khir dengan isu penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) suatu ketika dulu.
Tetapi jelasnya apa sahaja pelantikan baru atau keputusan kerajaan membabitkan perbelanjaan tadbir urus sekiranya berdasarkan ‘feasibility study’ tidak memberi sebarang impak yang menyeluruh terhadap pembangunan kebajikan sosio- ekonomi rakyat dan negara, maka ia wajar tidak dilaksanakan.
Berhentilah membazir ketika rakyat susah |
Difahamkan Ismail mempunyai tiga penasihat dalam bidang kesihatan, agama serta undang-undang dan hak asasi manusia
Dilaporkan ia melibatkan kos RM50,000 sebulan setiap seorang termasuk kakitangan mereka.
0 Comments