AMK S'wak kecewa PRN terpaksa diadakan 'segera'


ANGKATAN
Muda KEADILAN (AMK) Sarawak meluahkan rasa kecewa apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan setelah darurat di negeri itu dibatalkan.

Ketuanya, Saifunnizam Sam melalui satu kenyataan bersama timbalannya Chiew Choon Man mendakwa alasan darurat dibatalkan di Sarawak adalah untuk mengelak pelaksanaan Undi18.

Tindakan mengusulkan pembatalan itu kepada Yang di-Pertuan Agong menurut mereka sebagai satu keputusan yang tidak memikirkan kepentingan kesihatan rakyat susulan Sarawak masih diancam varian Delta Covid-19.

Mereka turut menegaskan tiada keperluan mendesak untuk membatalkan darurat lebih awal bagi membolehkan PRN dijalankan segera.

“Tindakan ini jelas menafikan hak golongan yang berada dalam lingkungan 18 ke 20 tahun daripada mengundi dalam PRN kali ini. Tiada alasan lain mengapa GPS bertindak sedemikian kecuali takut dan gementar dengan undi anak muda.

“AMK Sarawak juga kecewa terhadap Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang lebih mengutamakan percaturan politik daripada kepentingan rakyat dalam membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini.

"Tindakan (gabungan pemerintah) GPS ini jelas menunjukan sikap sebenar mereka yang tidak mempedulikan keselamatan rakyat demi mencapai matlamat untuk berkuasa dan menghalang Undi 18 daripada dilaksanakan," kata mereka dipetik.

AMK dakwa helah GPS halang Undi18
DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia tahun lalu dan juga tahun ini.

Proklamasi itu dijadual tamat pada Februari depan. Penurunan had umur layak mengundi pula akan dilaksanakan akhir tahun ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud dilapor media membuat permohonan kepada Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembatalan itu dengan nasihat Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
 

Post a Comment

0 Comments