Tiada bakat memimpin tapi rakus nak jadi menteri- Rafidah Aziz


TOKOH politik veteran, Tan Sri Rafidah Aziz tampil lagi mengkritik cara bagaimana Malaysia ditadbir.

Dipetik temubual eksklusif dengan portal FMT, Rafidah yang pernah memegang beberapa portfolio dibawah pentadbiran beberapa perdana menteri secara terbuka menyatakan rasa bimbangnya melihat bagaimana negara dipimpin.

Ahli politik di negara ini sekarang katanya ghairah dan bersikap rakus untuk memiliki kuasa walaupun mereka tiada kebolehan memimpin.

Malaysia juga tegas Rafidah kini berdepan masalah apabila ahli politik kini bersikap 'cakap tak serupa bikin'

“Bagi saya, kata-kata anda adalah janji untuk dipegang dan dikotakan.

“Bila kata-kata kamu tak boleh dipegang, bila cakap kamu tak serupa bikin, anda tak lagi boleh dipercayai.

Bila orang tak boleh lagi percayai kamu, maka apa jua keyakinan mereka (kepada kamu) turut hilang.” kata beliau yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai menteri selama 28 tahun itu.

Rafidah turut menyentuh beberapa isu semasa termasuk kecenderungan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dikepalai Muhyiddin Yassin yang dilihat tidak berterus-terang semasa mempromosikan pakej rangsangan yang pelbagai.

Tegas Rafidah, kerajaan seharusnya bersikap jujur apabila berkomunikasi dengan rakyat.

Pentadbiran Muhyiddin katanya berdepan penolakan rakyat susulan tindakan mereka mengusulkan darurat dan bertindak sewenang-wenang termasuk membenarkan penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) oleh kerajaan PN.

“Anda dapat perhatikan yang mereka (kerajaan) hilang sokongan pelbagai pihak. Rakyat tak gembira. Tak ada sebab untuk darurat,” katanya.

 Rakyat kini tak gembira, kata Rafidah
Dalam temubual serupa juga, Rafidah menekankan perlunya sesebuah kerajaan mempunyai kebolehan untuk merancang sesuatu perkara dengan baik dan bukan sekadar membuat pengumuman yang akhirnya menyebabkan keadaan menjadi kucar kacir.
 
“Hidup ini mudah kalau pandai mengurus,” kata beliau.

“Tapi kalau tak berkebolehan dan tak mahir mengurus, semuanya akan jadi rumit dan kelam-kabut.”

Post a Comment

0 Comments