Kekal sokong PN, Umno dilihat tiada prinsip - Guan Eng


UMNO
bakal dilihat sebagai sebuah parti politik yang tidak berpinsip selagi kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia dapat dilihat apabila parti itu memilih untuk terus kekal dibawah pentadbiran Muhyiddin Yassin walaupun serangan demi serangan dilancarkan umno kepada parti Bersatu yang dipimpin Ahli Parlimen Pagoh itu.
 
"Sekiranya Umno parti yang berprinsip, mereka pasti sudah meninggalkan kerajaan," kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Muhyiddin pula ketika ini dilihat berada dalam keadaan tersepit dan tidak mempunyai pilihan selain terus bergantung kepada Umno bagi memastikan dirinya dapat terus berkuasa.

Ia jelasnya dapat dilihat apabila Muhyiddin mengambil sikap berdiam diri walaupun partinya terus diasak pemimpin Umno termasuk gesaan supaya hubungan politik kedua-dua parti diputusakan segera.

"Hakikat bahawa Umno masih kekal dalam kerajaan menunjukkan fakta jelas iaitu Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoritinya di parlimen.

"Dia memerlukan Umno demi mengekalkan kuasanya yang lemah," tambah ahli parlimen Bagan itu lagi.

Guan Eng sebelumnya mengulas perkembangan politik semasa yang menyaksikan beberapa pemimpin Umno mengkritik kerajaan dan Bersatu secara terbuka.

Ia diburukkan lagi dengan dakwaan bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat, Annuar Musa mengenai tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan sokongan secara hitam putih kepada Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

 Serangan Umno percubaan cepatkan PRU
Walau bagaimanapun Guan Eng berpandangan serangan dilakukan Umno terhadap pentadbiran Muhyiddin kebelakangan ini sekadar usaha mendesak supaya Pilihan Raya Umum diadakan segera.

"Kemunafikan kritikan Umno terhadap ketidakcekapan, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah, janji-janji yang dimungkiri dan kesan buruk "u-turn" dasar kerajaan PN jelas bukan bertujuan untuk memperbaiki kegagalan, sebaliknya hanya untuk memaksa agar pilihan raya umum awal diadakan tanpa mengira krisis Covid-19," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments