Kebebasan bersuara: Zunar pertahan kartun kritik MB Kedah

 

KARTUNIS Zunar mempertahan lukisan kartun yang mengkritik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tindakan membatalkan cuti umum untuk perayaan Thaipusam.

Dipetik laporan Malaysiakini, Zunar atau Zulkiflee SM Anwar Haque menyelar tindakan Pemuda PAS Kedah membuat laporan polis terhadapnya susulan kartun tersebut.

Penerima anugerah "Cartooning for Peace" itu turut menyifatkan tindakan Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid itu sebagai usaha untuk menyekat kebebasan bersuara.

"Saya mengulas isu semasa. Kartun ini popular berdasarkan perkongsian. Saya serahkan kepada orang ramai bagaimana mereka melihatnya. Saya tidak mahu memberikan penjelasan.

“Anda berhak untuk setuju dan tidak setuju. Tetapi jangan membuat tafsiran mengatasi undang-undang. Jangan mengharapkan polis mengambil tindakan berdasarkan tafsiran anda. Ini tidak betul,” katanya dipetik.

Nurul Amin Hamid sebelum ini menggesa supaya pemilik akaun Facebook Zunar dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.

Dia mendakwa kartunis itu telah menyalahgunakan bakatnya dengan menyebarkan mesej yang salah kepada orang ramai.
 
Zunar menambah tindakan Pemuda PAS mendesak pihak berkuasa untuk bertindak terhadapnya di bawah Akta Hasutan sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Ini bertentangan dengan kebebasan saya untuk bersuara. Saya bimbang kerajaan ini akan menggunakan Akta Hasutan lagi seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN)," katanya.

Dalam catatan yang sama, Zunar meminta Nurul Amin untuk membuktikan tuduhan bahawa dia melakukan fitnah terhadap menteri besar.

"Ini adalah tuduhan serius dan dia mesti membuktikannya," katanya.

Keputusan untuk membatalkan cuti umum untuk Thaipusam menerima kecaman pelbagai pihak termasuk dari sekutu PAS dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu, MIC.

 Zunar pertahan kartun kritik Sanusi
Sanusi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu sebelum ini dikritik dalam beberapa insiden termasuk usahanya untuk melombong nadir bumi di negeri itu serta isu berkaitan air dengan Pulau Pinang.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan pemimpin MIC antara yang mengkritik Sanusi susulan tindakannya sebagai Men untuk tidak memberikan cuti peristiwa sempena Thaipusam pada tahun ini di negeri itu.