Kanak-kanak maut , Axia rempuh traler


TIGA kanak-kanak lelaki maut sementara ibu mereka parah dalam kemalangan sebuah Perodua Axia dan dua lori di KM272.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Ipoh petang semalam.

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, tujuh tahun, dan dua adiknya Muhammad Lutfi Hakim, tiga tahun, dan Muhammad Affan Hafiy, setahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, ibu mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27 tahun, mengalami cedera parah dalam kejadian itu, manakala tiga anaknya maut di tempat kejadian.  

Nur Aimi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Tambah Mohamed Nordin, kenderaan dipandu Nur Aimi hilang kawalan sebelum merempuh dua lori yang berada di lorong kecemasan.

“Kemalangan pertama berlaku di antara dua lori di lorong kiri jalan yang membabitkan kes langgar belakang dan kedua-duanya memasuki lorong kecemasan.

 Tiga mangsa maut ditempat kejadian
"Ketika pihak PLUS datang memberi bantuan dan kawalan lalulintas, kereta Axia berkenaan hilang kawalan dan berpusing sebelum melanggar bahagian belakang lori kontena yang membawa muatan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 3 petang.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan mangsa yang maut kepada pihak polis.