Anwar dilapor berjaya pohon agar Akta MKN dibicara


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berjaya  dalam permohonan untuk semakan semula keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan yang menolak untuk menjawab persoalan perlembagaan yang dikemukakannya berkaitan kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016

Dipetik laporan Bernama, Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan semakan Anwar untuk mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan sebelumnya bertarikh 11 Feb.

Abdul Rahman berkata bidang kuasa mahkamah menurut Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sangat terhad dan hanya dilaksanakan dalam keadaan yang sangat luar biasa.

"Namun, setelah memberikan pertimbangan sedalamnya, kami berpendapat adalah sesuai dan tepat bagi mahkamah untuk menggunakan budi bicaranya dengan membenarkan permohonan itu," katanya.

Dalam permohonan yang difailkan pada Mac lepas, Anwar sebagai pemohon mendakwa berlaku ketidakadilan berikutan keputusan mahkamah untuk tidak menjawab soalan perlembagaannya.

Beliau mendakwa kerajaan sebagai responden dalam kes tersebut, telah mengambil keputusan bahawa tuntutannya (Anwar) di Mahkamah Tinggi harus dibatalkan tanpa didengar.

Dalam notis usulnya Anwar berkata terdapat juga pelanggaran keadilan yang serius kerana beliau tidak diberi hak untuk didengar berhubung isu itu sama ada persoalan perlembagaan yang dibangkitkan adalah abstrak, akademik atau hipotesis.

Majoriti hakim jelasnya membuat keputusan berdasarkan isu yang tidak pernah dibangkitkan oleh kerajaan dan mahu mahkamah mengeluarkan perintah yang wajar dan adil.

Anwar memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar perlembagaan MKN, dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan. Beliau menamakan MKN dan kerajaan selaku defendan.

Pada 14 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan.

Terdahulu, peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa terdapat pelanggaran keadilan dalam kes ini yang memberi hak kepada mahkamah untuk mengetepikan keputusan majoriti oleh Mahkamah Persekutuan.

"Pemohon (Anwar) perlu didengar berhubung persoalan sama ada isu perlembagaan adalah akademik atau isu yang harus ditentukan oleh mahkamah ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments