MALAYSIA terus mencatatkan perkembangan penurunan kes positif Covid-19 apabila hanya dua kes baru positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dalam tempoh sama.
“Daripada dua kes baru yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan satu kes adalah penularan di dalam negara iaitu kes saringan pra-rujukan di Hospital Kota Belud, Sabah.
“Kedua-dua kes ini melibatkan warganegara Malaysia. Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan perkembangan baru itu jumlah kes di Malaysia adalah sebanyak 8,639, bagaimanapun jumlah pesakit dengan kebolehjangkitan telah menurun kepada 164 kes.
“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,354 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Bagaimanapun jelas Dr Noor Hisham, di sebalik trend penurunan kes di Malaysia, Dr Noor Hisham memberi amaran bahawa situasi wabak Covid-19 di seluruh dunia dijangkakan akan semakin melarat.
“Justeru, kita perlu lebih berwaspada serta mematuhi SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan pada setiap masa.
“Kerjasama semua pihak adalah amat penting untuk kita sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia,” katanya.
0 Comments