Satu kematian, 78 kes baru, 63 sembuh


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia mengumumkan 78 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,137.

Pada sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 78 kes baru yang dilaporkan, 25 kes terdiri daripada kes import dari luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 40 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, seramai 63 lagi pesakit sembuh sepenuhnya hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,859.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,163 kes.

Terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan satu lagi kematian berpunca dari wabak itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada  115 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. 

“Kes kematian ke-115 (kes ke-3616) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,” katanya.

Menurutnya, mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 3 April lepas dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mei pada pukul 2.58 petang.
 

Post a Comment

0 Comments