SEORANG bekas menteri menggesa pentadbiran Muhyiddin Yasin meneliti kembali kaedah kerajaan itu mengekang kenaikan harga barang yang semakin membimbangkan kini.
Saifuddin Nasution Ismail, menteri yang bertanggungjawab di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini berkata, ada dua perkara yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini yang tidak tidak diteruskan oleh Perikatan Nasional (PN) yang dilihat menyumbang kepada masalah tekanan harga barang keperluan harian.
Satu dari punca kenaikan harga tersebut tegasnya adalah tindakan penetapan tempoh kawalan harga beberapa barangan selama 15 hari berbanding 30 hari semasa pentadbiran HARAPAN sebelum ini.
"Manakala bagi jumlah barangan dalam senarai harga kawalan pula hanya ditetapkan 11 sahaja oleh PN dan ia lebih rendah berbanding 27 barang semasa HARAPAN," katanya.
Sebelum ini orang ramai menyuarakan rungutan terhadap peningkatan pelbagai barang terutama menjelang sambutan hari raya ini. Di beberapa negeri harga barangan seperti ayam, daging dan sayur-sayuran meningkat terlalu tinggi.
Seorang lagi bekas menteri, Salahuddin Ayub yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan pertanian dan industri asas tani sebelum ini turut mengkritik kelemahan pentadbiran pentadbiran Muhyiddin menangani isu harga barang.
Salahuddin menyifatkan kurangnya kerjasama erat antara KPDNHEP dan kementerian pertanian dan industri makanan, seperti yang berlaku ketika era pentadbiran HARAPAN sebelum ini antara punca harga barangan meningkat.
Sementara itu, Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim - Bandar Baru itu menegaskan bahawa pentadbiran Muhyiddin wajar meneliti kembali jumlah barangan yang dikawal serta tempoh yang ditetapkan bagi kawalan harganya.
"Sebelas barang yang dikawan itu ternyata sangat sedikit dan tempoh 15 hari juga sangat pendek," katanya.
Justeru, PN wajar menjadikan langkah diambil KPDNHEP semasa pentadbiran HARAPAN dulu sebagai penanda aras bagi mengawal kenaikan harga barang, sekali gus menunjukkan ia berjaya menjaga kepentingan rakyat dan pengguna.
"Ketika rakyat hilang pendapatan (kerana kesan Covid-19), diselimut pula perasaan bimbang hilang pekerjaan mereka ditimpakan pula dengan beban perbelanjaan besar untuk membuat persiapan raya.
"Perkara yang paling diharap oleh rakyat pada kerajaan ialah panjangkan tempoh kawalan dan tambah bilangan barang," katanya.
0 Comments