Peka kritik rancangan kebelakang K'jaan PN Kedah


RANCANGAN
pentadbiran baharu Kedah memberi kawasan pembalakan lain sebagai pampasan kepada syarikat pembalakan dikritik Pertubuhan Pelindung Khazanah Negara (Peka).

Peka berkata, rancangan itu merupakan satu langkah ke belakang walaupun Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan kawasan ganti berkenaan merupakan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang.

"Adalah tanggungjawab pihak berkuasa negeri untuk memastikan bahawa kawasan tadahan hujan dilindungi. Kegagalan untuk berbuat sedemikian boleh dianggap sebagai salah guna oleh pihak mereka.

"Pemberian konsesi baru sebagai pampasan untuk konsesi yang dikeluarkan secara salah bertentangan dengan pentadbiran yang baik dan menimbulkan kebimbangan tentang niat sebenar pampasan konsesi pembalakan yang diberikan," katanya Presidennya, Shariffa Sabrina Syed Akil

Terdahulu, Sanusi berkata kerajaan negeri berhadapan tuntutan pampasan sebanyak RM1 bilion daripada 40 syarikat pembalakan, sebelum menyemak semula angka berkenaan dan mengatakan ia berjumlah RM1.5 bilion.

Sanusi berkata tuntutan tersebut melibatkan 131 konsesi di kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi kawasan tadahan air.

Konsesi berkenaan diberikan ketika pentadbiran PAS antara tahun 2008 dan 2013, namun digantung selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kerajaan negeri.

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahahtir bagaimanapun mempertikaikan dakwaan Sanusi dan mengatakan tidak ada syarikat pembalakan membuat tuntutan sedemikian.

"Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan untuk meluluskan konsesi," katanya.

Sementara itu, Sabrina menegaskan bahawa sekiranya kawasan warta adalah kawasan tadahan hujan, konsesi balak yang melibatkan kawasan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan sama sekali.

Katanya, membenarkan penebangan hutan juga boleh menyebabkan Malaysia terdedah kepada bencana alam dan mengancam sumber air seperti berlaku di negeri-negeri lain.

"Kerajaan negeri sepatutnya tidak membenarkan pembalakan di Kedah sebaliknya mempertingkatkan usaha untuk memelihara hutan sedia ada dan penghutanan semula," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri bertanggungjawab mematuhi komitmen di peringkat antarabangsa dalam memastikan 50 peratus litupan hutan dan pembangunan lestari.

Post a Comment

0 Comments