KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan 1 kluster baru yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga Khamis, seramai 645 orang disampel secara keseluruhan dan 35 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“400 kes negatif Covid-19 dan 210 orang masih menunggu keputusan.
“Semua 35 kes positif tersebut melibatkan bukan warganegara Malaysia, iaitu 17 warga Myanmar, 15 warga India, 1 Sri Lanka, 1 Bangladesh dan 1 Mesir,” katanya pada sidang medianya.
Difahamkan, individu yang positif itu telah diasingkan untuk rawatan.
Sementara aktiviti pencegahan dan kawalan telah pun dijalankan termasuk aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.
Katanya, punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.
“KKM telah menyediakan perkhidmatan kesihatan ke semua pusat depot tahanan secara berjadual.
“Perkhidmatan ini diberikan oleh pasukan kesihatan dari klinik kesihatan yang terdekat,” katanya.
Sementara itu, KKM turut mengesahkan sebahagian Orang Kena Tahan (OKT) ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil yang positif Covid-19 sudah dihantar pulang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Individu terbabit difahamkan menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal mereka dan menerima maklumat itu daripada Jawatankuasa Pengawalseliaan Kesihatan Antarabangsa.
"Kita masih jalankan siasatan, OKT itu ditahan sebelum PKP yang bermula pada 18 Mac lalu.
"Ada yang dihantar pulang dan dimaklumkan apabila ujian dilaksanakan di negara dihantar pulang, keputusannya positif. " jelasnya sambil berkata, ujian saringan sedang dijalankan terhadap kontak rapat pesakit selain mengarahkan mereka menjalani kuarantin.
0 Comments