PERALIHAN kuasa perdana menteri yang dicanangkan kepada rakyat tetap perlu dilakukan "seperti dijanjikan" tegas bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan era Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Johari Abdul.
Ingatan itu disuarakan Johari melalui satu kenyataan yang turut ditandatangani 38 Ahli Parlimen dari KEADILAN semalam.
Kenyataan itu menyusul ketika spekulasi HARAPAN mempunyai cukup sokongan mengambil semula pentadbiran negara daripada Perikatan Nasional (PN) sedang kuat diperkatakan.
"Kami berpendirian bahawa HARAPAN perlu terus diperkukuhkan kerana mandat rakyat telah diberikan kepada HARAPAN dengan jelas pada PRU14 yang lalu.
"Peralihan kuasa perlu berlaku sepertimana yang dijanjikan, berjalan dengan tertib dan aman, serta mengikut lunas undang-undang," tegasnya mereka. |
Bukan pertarungan elit politik
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim , namun terhalang susulan 'Langkah Sheraton' pada Mac lalu.
Terdahulu, HARAPAN digembar gembur telah mengumpulkan sokongan 129 anggota parlimen bagi mencabar keabsahan kerajaan PN.
Mengulas perkara itu Johari berkata, mereka melihat usaha berkenaan sebagai satu usaha mengembalikan mandat diberikan rakyat kepada HARAPAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Kami mengambil maklum bahawa proses rundingan dan perbincangan masih berterusan demi mengembalikan mandat rakyat ke tempat yang sepatutnya pada kadar segera.
"Ini bukan pertarungan elit politik untuk merebut kuasa, tetapi agenda Reformasi sebenar yang mengutamakan kepedulian rakyat," tegas kenyataan itu.
Sementara itu melalui kenyataan serupa, mereka turut menekankan keperluan HARAPAN meneliti usaha selama ini untuk menepati janji-janji yang dibuat serta mengelak daripada mengulangi kesilapan lalu sekiranya berkuasa semula.
Tidak sekadar itu, pemimpin juga tegas mereka perlu melipatganda usaha mengutamakan nasib rakyat yang terkesan dengan kehilangan pendapatan dan pekerjaan akibat penularan wabak Covid-19.
0 Comments