PIHAK berkuasa polis tidak akan memanggil bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad untuk disiasat berhubung tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan bekas setiausaha politiknya
Perkara itu disahkan sendiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Zakaria Ahmad.
Tegas Nohd Zakaria, Khalid tiada kena mengena dengan kes tersebut.
"“Kes ni tak ada kena mengena dengan (bekas) menteri berkaitan. Jadi, tak ada sebab untuk pihak polis panggil dia," katanya dipetik.
Khalid sebelum ini berkata penahanan bekas setiausaha politiknya itu berdasarkan aduan daripada sebuah syarikat arkitek yang mendakwa menerima Arahan Pembangunan (DO) palsu daripada seorang "broker".
Bagaimanapun tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau percaya apa yang berlaku adalah satu bentuk penganiayaan, broker itu tegasnya menerima ganjaran dengan menjual nama bekas setiausahanya yang kononnya mendapatkan surat berkenaan bagi pihaknya.
"Broker itu menerima ganjaran dengan menjual nama Azli yang kononnya mendapatkan DO berkenaan bagi pihaknya.
"Saya diberitahu, broker berkenaan telah menerima jutaan ringgit melalui kaedah menjual nama ini. Broker kaya, yang nama dijual teraniaya," katanya di Twitter.
Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan bahawa bekas menteri itu akan menjadi salah seorang yang akan dipanggil oleh pihak polis.
Bagaimanapun pada 27 Mei, Khalid memberitahu media bahawa menurut Azli, namanya tidak pernah disebut dalam siasatan, sambil berharap supaya perkara itu dapat diselesaikan.
Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, siasatan mengenai perkara itu masih dijalankan.