BEKAS menteri industri utama Teresa Kok bimbang dengan keputusan Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang ingin membina pusat teknologi getah (RTC) bernilai RM100 juta.
Menurutnya, rancangan itu mungkin bertukar menjadi projek gajah putih seperti projek LGM sebelum ini.
Teresa turut membangkitkan apakah kajian yang tepat dilakukan sebelum keputusan membina RTC itu telah diluluskan oleh lembaga kerana kebiasaannya kajian akan memakan masa lebih daripada setahun.
Beliau bimbang prosedur Fidusiari dan Kewangan telah dicabuli dalam kes itu, tambahan lagi Pengerusi MRB Ahmad Nazlan Idris, yang mengumumkan projek itu, baru dilantik kira-kira sebulan yang lalu.
“Saya pasti LGM tidak dapat menjalankan kesemua kajian yang diperlukan untuk menjustifikasi perbelanjaan RM100 juta bagi membina RTC dalam tempoh yang singkat ini,” kata Teresa dalam satu kenyataan.
Semakan mendapati, Ahmad Nazlan merupakan seorang ahli politik Umno yang juga adalah Ahli Parlimen Jerantut. Sementara projek tersebut dakwa teresa telah diluluskan di kawasan parlimen diwakili Ahmad Nazlan.
Beliau bimbang sejarah akan berulang lagi di LGM seperti projek yang diumumkan bekas pengerusinya, Ahmad Hamzah di kawasannya di Jasin, Melaka, yang menelan belanja RM44 juta dan masih belum siap sehingga hari ini.
Mengatakan ia adalah projek yang tidak seharusnya diadakan dan ternyata membazir wang yang diluluskan yang berselindung di sebalik nama seperti model teknologi getah, beliau meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan sama ada beliau sedar atau tidak projek RTC itu, khususnya pada waktu di mana dana awam sepatutnya digunakan secara berhati-hati.
“Adalah lebih baik bagi Ahmad Nazlan menaik taraf kemudahan penyelidikan di Sungai Buloh untuk menggalakkan kakitangan dan kepakarannya demi meningkatkan lebih inovasi baru.
“LGM memang mempunyai tanah yang besar di Sg Buloh dan di tempat lain di Lembah Klang untuk mencapai halatuju ini.
“Kita memang tidak perlu membina satu lagi RTC di Jerantut ataupun di mana-mana tempat sekarang, kecuali ia dibina atas sebab politik dan bukannya atas wujudnya keperluan,” tambahnya bekas menteri itu lagi.
Sebagai rekod, Malaysia sudah mewujudkan beberapa teknologi getah dan pusat kajian getah di Sungai Buloh (dahulunya Institut Penyelidikan Getah Malaysia) dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di England dan di Kota Tinggi, Johor Bahru.
Bagaimanapun siang tadi, Ahmad Nazlan Idris memaklumkan bahawa projek Pusat Teknologi Getah (RTC) bernilai RM100 juta yang dicadangkan di Jerantut, Pahang masih dalam peringkat perancangan dan belum diluluskan.
0 Comments