LIMA individu terkorban dalam Kebakaran unit pengasingan Covid-19 sebuah hospital di Bangladesh semalam.
Pegawai bomba tempatan, Kamrul Hasan, yang dipetik AFP memberitahu kebakaran berlaku selepas sebuah unit pendingin hawa dalam bangsal di Hospital itu meletup.
Difahamkan unit pengasingan itu baru dibina di hadapan hospital terbabit beberapa minggu lalu, ia dibina khusus bagi merawat pesakit Covid-19.
"Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh sekitar sejam dan lima mangsa terkorban akibat sesak nafas akibat kebakaran itu," katanya.
Manakala Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka, Sudip Kumar Chakraborty, memberitahu AFP bahawa api merebak dengan cepat berikutan terdapat bahan mudah terbakar seperti cecair nyah kuman dalam bangsal terbabit.
"Tiga daripada mangsa adalah pesakit COVID-19 manakala dua lagi sudah disahkan negatif bagi virus itu," katanya.
Insiden itu mencetuskan rasa bimbang umum, susulan Bangladesh kini terus mengalami peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Seorang doktor memberitahu bahawa semua pesakit panik akibat kebakaran tersebut, yang hanya menambah beban kepada mereka yang sememangnya tertekan akibat kes COVID-19.
Pandemik virus itu semakin buruk beberapa minggu lalu dengan kematian mencecah 544 kes dan hampir 40,000 mangsa jangkitandi Bangladesh.
Kerajaan negara itu pada minggu lalu mengarahkan sebahagian besar hospital kerajaan mula merawat pesakit COVID-19, yang sebelum ini hanya dilakukan beberapa hospital swasta.