Tiada kematian akibat koronavirus dilaporkan hari ini


MALAYSIA
tidak mencatatkan kes kematian akibat jangkitan koronavirus (Covid-19) sepanjang hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Manakala kes baru direkodkan Kementerian Kesihatan pada Isnin adalah sebanyak 36, kes terendah setakat ini.

Susulan perkembangan itu, negara mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif wabak berkenaan sebanyak 5,425 dan angka kematian kekal 89.

Bercakap pada sidang media harian Covid-19 di sini, Dr Noor Hisham  berkata, kes pulih wabak itu terus mengatasi kes baru dengan 98 pesakit dibenarkan keluar wad.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 3,295.

Sementara itu, sehingga kini 45 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun berlaku penurunan kes baru sejak beberapa hari lalu, terdapat kemungkinan bilangannya meningkat dalam tempoh 2 minggu akan datang.

Beliau berkata, ini kerana aktiviti pengesanan kes Covid-19 masih giat dijalankan, terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara serta kawasan yang terlibat di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di seluruh negara.

Post a Comment

0 Comments