AHLI Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyelar tindakan beberapa individu dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menjadi pengkhianat parti walaupun sudah membentuk kerajaan.
Beliau yang tidak menamakan individu yang dimaksudkan memberi jaminan bahawa rakyat akan menghukum pengkhianat tersebut.
“Inilah pengkhianat sebenar yang telah mengkhianati amanah rakyat yang memberi sokongan kepada HARAPAN.
“Mereka telah masuk ikut pintu belakang, apa punya celaka mereka ini.
“Kita tunggu dan bersiap sedia sebarang kemungkinan. Dua tiga ekor nyamuk ini nanti kita akan bunuh,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat itu dipetik.
Abdullah Sani sebelumnya bercakap kepada pemberita di luar pekarangan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut malam tadi.
Terdahulu, kediaman Ahli Parlimen Port Dickson itu dipenuhi ratusan penyokong menghadiri Majlis Zikir Nuril Anwar bersama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim bermula jam 6 petang.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.
Hadir sama bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali.
Difahamkan Anwar keluar meninggalkan kediaman jam 10.30 malam menaiki sebuah kenderaan selepas beberapa minit Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail tiba.
0 Comments