Pakatan Nasional hanya propaganda - Anwar


DATUK
Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa isu pakatan baharu yang heboh baru-baru ini sebagai propaganda pembangkang.

Bercakap selepas meghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pro Reformis 98 di Seremban semalam, Anwar menegaskan dakwaan kononnya beberapa Ahli Parlimen dari Parti keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyokong pakatan baharu digerakan pembangkang itu sebagai tidak berasas.

Menurut Anwar, kerjasama gabungan dinamakan Pakatan Nasional (PN) itu tidak pernah dibincangkan dalam pertemuan peribadi beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bahkan, isu itu juga tidak pernah diutarakan dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Harapan (HARAPAN) atau dibincangkan pemimpin sama ada dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau HARAPAN sendiri.

"Itu perkiraan daripada usaha beberapa tokoh pembangkang...dia kata enam daripada Amanah dan apabila kita periksa, tak betul.

"Jadi ada usaha penipuan dalam langkah perang psikologi mereka. Ada 15 daripada PKR, tak betul dan saya periksa sendiri... yang pastinya jumlah itu terlalu ekstrim dan berlebih-lebih, tidak benar.

"Jadi perkiraan itu meleset dan mereka (pembangkang) kaitkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), kaitkan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir dan ini tidak baik," katanya dipetik laporan Awani.

62 tahun gagal selamatkan Melayu

Anwar menegaskan,  ura-ura penubuhan pakatan baharu itu jelas merupakan propaganda yang sengaja dijaja pembangkang untuk meyakinkan rakyat.

Anwar dalam masa sama turut mempersoalkan mengenai keperluan menubuhkan pakatan berkenaan memandangkan pembangkang khususnya UMNO telah pun diberikan mandat selama 62 tahun mentadbir negara.

"Saya tiada halangan... tetapi masalah dia, untuk apa? Dia (pembangkang) kata untuk menyelamatkan Melayu.

"Dia dah diberikan mandat selama 62 tahun dan keduanya dia ditaja oleh beberapa orang yang (sedang) menghadapi kes-kes serius di mahkamah soal rasuah.

"Jadi patut dia hadapi itu dahululah. Janganlah anggap dia nampak baik, hal ini ditutup dan diselesaikan," tegas Anwar menurut laporan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments