KANAK-KANAK berusia sembilan tahun maut selepas motosikal ditunggang bapa mereka terbabit kemalangan di Kilometer 17, Lebuhraya Persekutuan semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Noor Faizdhatul Sulaiman disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam akibat parah di leher.
Sementara abangnya, Muhammad Faiz Sulaiman, 11 yang turut membonceng motosikal itu mengalami pendarahan di kepala dan dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang Sulaiman Omar, 35, dipercayai bergesel dengan kenderaan yang masih belum dikenal pasti.
"Akibat kemalangan itu, Noor Faizdhatul meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam," katanya.
Beliau berkata, sehingga kini tiada saksi tampil bagi membantu siasatan dan usaha mengenal pasti kenderaan terbabit masih diteruskan.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai berdekatan bagi membantu siasatan.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 Comments