PUTERA Harry dan isterinya, Meghan, dilapor melepas gelaran diraja Duke dan Duchess of Sussex yang disandangnya dalam persefahaman dengan Ratu Elizabeth.
Memetik laporan AFP, tindakan Harry itu bagi membolehkan beliau dan keluarganya menghabiskan lebih banyak masa peribadi di Kanada dan sekaligus berundur daripada tugas rasmi diraja.
Pengumuman bersejarah dari Istana Buckingham itu dibuat selepas perbincangan sejak beberapa minggu lalu. Dengan keputusan itu, bermakna Harry selaku cucu kepada Ratu Elizabeth II dan isterinya, pelakon berbangsa Amerika Syarikat (AS), tidak akan lagi menggunakan gelaran ‘Yang Mulia’.
Ratu Elizabeth, 93, dalam satu kenyataan bertitah, keputusan itu dicapai selepas rundingan berbulan lamanya dan perbincangan terbaru, di mana satu persefahaman dicapai bagi menyokong keputusan cucunya serta keluarga.
“Seperti mana dipersetujui, mereka tidak akan terbabit dengan tugas diraja, menerima pangkat ketenteraan rasmi selain tidak lagi menerima dana awam bagi tugas diraja.
“Beta menyedari cabaran yang mereka hadapi berikutan pengamatan ketara terhadap kehidupan mereka sejak dua tahun lalu dan menyokong keputusan mereka untuk jalani hidup yang lebih bebas,” titahnya.
Difahamkan, pasangan itu juga perlu membayar balik £2.4 juta (RM12.5 juta) wang pembayar cukai, yang digunakan bagi mengubah suai kediaman mereka, Frogmore Cottage, berhampiran Istana Windsor.
0 Comments