MANUSIA paling kerdil, Khagendra Thapa Magar, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Pokhara dekat Nepal pada Jumaat.
Dengan ketinggian 67.08 sentimeter, Khagendra merupakan individu diperakui Rekod Dunia Guinness sebagai paling kerdil dan mampu berjalan.
Difahamkan, Khagendra dilaporkan meninggal dunia susulan pneumonia atau radang paru-paru.
“Dia memang keluar masuk hospital selama ini kerana pneumonia. Hari ini, dia meninggal dunia,” kata Adiknya, Mahesh Thapa Magar.
Meurut Mahesh lagi, abangnya terpaksa mendapatkan rawatan sejak kebelakangan ini dan sering berada di hospital, kesihatannya semakin merudum sehingga doktor mengesahkan fungsi hatinya terjejas.
Sebagai rekod, Khagendra pada asalnya dinobat sebagai manusia paling kerdil di dunia pada 2010 selepas meraikan ulang tahun kelahirannya ketika usia 18 tahun, namun rekod itu diperbaharui rakyat Nepal, Chandra Bahadur Dangi yang mempunyai ketinggian 54.6 sentimeter.
Chandra bagaimanapun meninggal dunia lima tahun lalu, sekali gus menyaksikan rekod manusia paling kerdil kembali menjadi milik Khagendra.
Sebagai manusia paling kerdil, mendiang Khagendra pernah berkunjung ke pelbagai negara, selain dijemput menghadiri program siaran televisyen di Eropah dan Amerika Syarikat ketika hayatnya.