ANAK lelaki kepada Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad diarah membela diri atas tuduhan penyalahgunaan dadah.
Hakim Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Mohamad Aizat Abdul Rahim berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Saiful.
Dalam keputusannya, Mohamad Aizat berkata hasil testimoni daripada enam saksi pendakwaan semasa perbicaraan sebelum ini, mahkamah mendapati rantaian kes itu tidak pernah terputus dan siasatan berjalan dengan teratur.
"Oleh itu, setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan bukti yang diberikan, mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.
"Tertuduh Ahmad Saiful Islam diperintahkan untuk membela diri.
“Kamu mempunyai tiga pilihan (bagaimana untuk bela diri) - sama ada berdiam diri, memberikan kenyataan yang tidak bersumpah di luar kandang saksi, atau memberikan kenyataan bersumpah dari kandang saksi, "kata Aizat.
Ahmad Saiful dilihat tenang dalam kandang orang tertuduh ketika Mohamad Aizat membuat keputusan tersebut sebelum dilihat berbincang sebelum peguam terbabit memaklumkan kepada majistret bahawa tertuduh memilih untuk memberikan pernyataan bersumpah dari kandang saksi.
Mahkamah menetapkan 13 Feb ini untuk Ahmad Saiful membela diri.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Pada Jun lalu media melaporkan Ahmad Saiful dikenakan enam tuduhan mengambil dadah jenis marijuana yang didakwa berlaku pada 5 Januari tahun lalu.
Bagaimanapun, Ahmad Saiful mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
0 Comments