Dua sepupu lemas ketika cari udang


CUTI  hujung minggu dua sepupu berakhir tragedi apabila mereka lemas dalam sebuah kolam ikan semalam.

Dalam kejadian di Bachok, Kelantan itu  Mohamad Aiman Farhan Zunaidi, 14 dan sepupunya, Nor Haslinda Mohamad Zawavi@Zawawi dipercayai ke kolam itu untuk menangkap anak udang untuk dijadikan umpan memancing bersama sepupu mereka yang lain.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pada jam 1.50 petang, adik kepada Mohamad Aiman pulang ke rumah dan memaklumkan kepada keluarga bahawa kedua-dua mereka telah lemas.

Susulan itu jelasnya, ahli keluarga terus ke lokasi kejadian dan cuba mencari mangsa namun gagal.

"Mereka mendapatkan bantuan penduduk kampung dan mayat keduanya ditemui 40 minit kemudian," katanya.

Nik Aminuddin berkata, mayat mereka dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Allahyarham Mohamad Aiman adalah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah manakala sepupunya, Nor Haslinda merupakan murid darjah enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Seneng, Jelawat, Bachok.

Post a Comment

0 Comments