Ajal sarjan polis, maut ketika bertugas


SEORANG anggota polis yang sedang dalam perjalanan melaksana tugasnya terbunuh dalam kemalangan dengan lori membawa muatan sawit.

Dalam kemalangan di Jalan Machap dekat Alor Gajah itu, Sarjan Muhammad Hanif Hassan, 24, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat (Komersial), meninggal dunia di tempat kejadian.

Muhammad Hanif difahamkan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata berdasarkan siasatan awal, Muhammad Hanif dikatakan dalam perjalanan dari Muar, Johor manakala lori terbabit dari arah bertentangan.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika lori membawa muatan kelapa sawit itu tiba di persimpangan tempat timbang sawit dan membelok ke kanan.

“Motosikal terbabit dari arah bertentangan dikatakan merempuh bahagian tepi sebelah kiri lori sehingga menyebabkan penunggang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Dalam nahas kira-kira jam 4.40 petang itu pemandu dan kelindan lori berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Arshad berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, manakala pemandu lori berkenaan ditahan di Balai Polis Trafik daerah bagi membantu siasatan kerana disyaki memandu secara cuai.

Post a Comment

0 Comments