Affendi Buang anak S'wak pertama dilantik Panglima ATM


PANGLIMA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Affendi sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 adalah bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang bersara wajib semalam.

Affendi, 57, sebelum ini berkhidmat sebagai Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama tiga tahun bermula 21 Disember 2016 menggantikan Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

Berasal dari Kuching, Sarawak, beliau mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi pada 1978 sebelum menyertai ATM dan menjalani latihan asas pegawai kadet di Port Dickson.

Affendi kemudiannya menjalani latihan penerbangan asas di TUDM Alor Setar dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 1982.

Sebelum dilantik sebagai Panglima TUDM, beliau pernah memegang jawatan penting dalam perkhidmatan itu antaranya, Pengarah Perancangan dan Kontijensi Markas Angkatan Bersama, Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Operasi Udara dan Timbalan Panglima TUDM.

Pelantikan itu juga menyaksikan Affendi menjadi Panglima TUDM kedua dilantik ke jawatan terbabit selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang berkhidmat sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-17 bermula 1 September 2009 hingga 14 Jun 2011.


Affendi juga merupakan anak kelahiran negeri Sarawak pertama diangkat ke jawatan tertinggi itu.
 

Post a Comment

0 Comments