PETISYEN menuntut agar bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) dikembalikan kepada bakal kakitangan perubatan yang bakal dimansuhkan tahun depan mendapat sambutan hangat.
Petisyen atas talian dilancarkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menyasarkan 75,000 tandatangan itu mendapat lebih 72,000 sokongan setakat jam 10 pagi tadi.
Berdasarkan keterangan pada petisyen itu, Naib Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) MMA, Dr Vijay Ganasan berkata petisyen itu sebagai solidariti pihaknya terhadap bakal kakitangan perubatan.
“Yang terjejas kakitangan perubatan baru dilantik, mereka sudah pun berdepan prospek kerjaya yang suram dan peluang kerja tetap yang tipis.
“Mansuh elaun kritikal sudah tentu memberi kesan kepada moral kakitangan perubatan baru yang akan menyumbang kepada pengurangan produktiviti dan kepuasan kerja.
“Pastinya bukan sebab wang ringgit tapi pengiktirafan dan penghargaan atas perkhidmatan kritikal yang kami beri,” katanya.
Sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pemansuhan BIPK melibatkan lantikan kakitangan baru bermulaJanuari depan, namun penerima sedia ada tidak terjejas.
Ia melibatkan penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang dilantik selepas 1 Januari depan.
JPA menerusi pekelilingnya Jumaat lalu mengumumkan bakal memansuhkan lapan elaun bermula tahun depan antaranya BIPK, Bayaran Insentif Angkat Najis, Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Keraian kepada Setiausaha Sulit dan Setiausaha Sulit Kanan serta beberapa elaun lagi.
Keputusan itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) juga mengkritik tindakan itu dan menggesa kerajaan khususnya JPA menilai semula keputusan itu demi kepentingan kebajikan kakitangan kesihatan yang bakal memastikan perkhidmatan kesihatan cemerlang kepada rakyat.
0 Comments