MAJLIS Pelancaran Dana Kreatif Perak @ Port yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Ipoh pada Isnin malam dikejutkan dengan kehadiran pengarah filem tersohor, Mamat Khalid.
Sekalipun berkerusi roda, Mamat yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Ipoh bulan lalu nampak bersemangat dan semakin sihat.
Memetik laporan Awani, mamat berkata apabila diundang ke Port atau Koloni Karyawan Amanjaya yang sentiasa dekat di hatinya menyebabkan beliau tekad hadir untuk memeriahkan acara berkenaan.
“Alhamdulillah abang sudah boleh keluar hari ni.
"Hari tu (sebelum ini) abang duduk dalam rumah saja... ada penyakit (kurang sihat).
“Sebenarnya, abang tak nak keluar (hospital) lagi, tapi apabila diberitahu Port panggil (jemput), YAB Menteri Besar datang untuk bagi dana pada anak-anak muda, kalau perlu abang bertongkat, abang akan bertongkat... kalau abang perlu merangkak pun, abang akan merangkak datang kerana kita harus beri sokongan kepada mereka," katanya dipetik.
Mamat khalid atau Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke hospital pada 13 Oktober lalu akibat sesak nafas yang berpunca daripada lebihan air dalam badan.
Pada April 2017, pengarah popular itu pernah dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor akibat kepenatan melampau.
Sementara itu, kerajaan negeri Perak melancarkan skim Dana Kreatif Perak @ PORT sebagai membantu menyokong usaha-usaha mengembangkan lagi industri kreatif di negeri itu.
Para penggiat seni kreatif di Perak yang berada dalam lingkungan umur 18 sehingga 45 tahun kini boleh mendapatkan bantuan dana sehingga RM10,000.
Ia memberi keutamaan kepada pengkarya atau pihak yang terlibat dalam bidang kreatif kelahiran Perak atau yang sudah bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun.